Kota Marudu: Polis Kota Marudu berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap tiga hari di atas batu di Pulau Batu Laya-Laya, perairan laut Kampung Teringai Laut, di sini, akibat dihanyutkan banjir, hari ini.

Mangsa Jaikon Majumban, 52, berasal dari Kampung Jambutan Laya-Laya, Kota Marudu ditemui orang awam sebelum bertindak menghubungi Balai Polis Kota Marudu untuk bantuan menyelamat, jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, bertindak atas maklumat itu, operasi menyelamatkan diatur gerak menggunakan sebuah bot penduduk kampung kerana bot penyelamat tidak dapat merapat ke pulau berkenaan.
Katanya, selepas mengharungi ombak yang agak kuat, mangsa akhirnya berjaya diselamatkan kira-kira jam 3.30 petang.

“Mangsa kemudian diberi makanan dan minuman sebelum dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Mangsa mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zairolnizal berkata, berdasarkan keterangan mangsa, jam 6.45 pagi, pada 25 Januari lalu, mangsa keluar dari rumah untuk membersih dan membuang air dalam perahu miliknya yang ditambat di tepi sungai Kampung Jambutan Laya-Laya.
“Tiba-tiba berlaku banjir dan arus kuat telah menghanyutkan mangsa serta perahu lebih kurang dua kilometer sehingga ke perairan laut, Kampung Teringai Laut.
“Mangsa kemudian terjun ke laut dan berenang ke Pulau Batu Laya-Laya untuk berlindung. Mangsa berada di pulau itu selama tiga hari dua malam,” katanya.
Menurutnya, jarak Pulau Batu Laya-Laya dengan daratan Kampung Teringai Laut adalah kira-kira 700 meter.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menangguhkan sebarang aktiviti di laut sekitar keadaan tidak mengizinkan,” katanya.
-Deasoka