Warga emas rentung, rumah kongsi terbakar

Warga emas rentung, rumah kongsi terbakar

Kunak: Seorang penghuni rumah pekerja di Lorong 7, Kunak Jaya, di sini, rentung selepas dua blok rumah kongsi musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa Suwardi Allu, 64, dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di dalam rumahnya ketika api sedang marak.

Mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan operasi bomba selepas api berjaya dipadamkan. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

Mangsa Suwardi Allu, 64, dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di dalam rumahnya. Pix Ihsan Bomba

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan rumah kongsi pekerja lapan pintu jenis tidak kekal.

“Operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke blok ketiga yang terletak berhampiran kedua-dua blok yang sedang terbakar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Pasukan bomba memadam api daripada terus merebak ke blok bersebelahan. Pix Ihsan Bomba

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 1.07 petang dan operasi pemadaman diteruskan sehingga mayat mangsa ditemui rentung di lokasi pada jam 2.25 petang.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.22 petang.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|