ATB 2 gagalkan cubaan PATI menyusup masuk

ATB 2 gagalkan cubaan PATI menyusup masuk

Tawau: Hasrat tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba menyusup masuk negara ini gagal selepas ditahan pasukan Tim Quick Reaction (QRF) di bawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) dalam Op Benteng, tengah malam tadi.

Semua PATI Indonesia yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia 40, 41 dan 49 tahun ditahan jam 12.15 tengah malam di muara Sungai Titingan, di sini.

Tiga PATI yang cuba menyusup masuk ke Tawau ditahan pasukan QRF di bawah pemerintahan Komander ATB 2, dalam Op Benteng. Pix Ihsan ATB 2

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, ketiga-tiga PATI terbabit bersembunyi di muara sungai berkenaan kerana menunggu agen daratan dari Tawau mengambil mereka untuk keluar dari kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap ketiga-tiga PATI mendapati mereka adalah warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan dari yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram.

Pasukan ATB 2 menahan tiga PATI warga Indonesia yang cuba menyusup masuk ke Tawau. Pix Ihsan ATB 2

“Mereka dimaklumkan menaiki bot yang telah diatur oleh agen dari Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke Tawau dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau.

“Semua PATI dibawa dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut termasuk proses saringan Covid-19.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan sempadan negara.

Katanya, ini bagi membuktikan sempadan dikawal dan ditangani secara serius dalam mengekang jenayah sempadan serta sebarang ancaman keselamatsn demi kedaulatan negara khususnya di Pantai Timur Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|