Bantuan persekolahan ringankan beban ibu bapa

Bantuan persekolahan ringankan beban ibu bapa

Tuaran: Syukur dan gembira. Itu reaksi ibu bapa yang hadir menemani anak masing-masing untuk menerima bantuan persekolahan bagi daerah Tuaran, di sini, hari ini.

Beberapa ibu bapa yang ditemui turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap setiap cabaran dan kekurangan yang dihadapi.

Suhaidah bersama anak sulungnya, Nurul Dila Dania, 12, yang bersekolah di SK Baru-Baru, Tuaran.

Bagi ibu tunggal kepada dua anak, Suhaidah Ginsiu, 38, berkata, bantuan itu diterima anak sulungnya Nurul Dila Dania, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Baru-Baru, di sini.

Katanya, pemberian itu sudah pasti akan meringankan bebanan dihadapi mereka sekeluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan menjahit pakaian.

“Rezeki anak. Saya bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan yang memberi bantuan ini demi pendidikan anak-anak.

“Saya mendoakan anak akan berjaya dalam pelajaran dan menjadi orang yang berjaya di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan persekolahan yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Bantuan berupa beg dan peralatan persekolahan itu disumbangkan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Suhaidah yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) berharap, pemberian bantuan berkenaan akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kegunaan persekolahan anak-anak.

Seorang lagi ibu, Siti Puspawati Karim, 47, turut merakamkan rasa gembira dan terharu terhadap keprihatinan kerajaan dalam menyalurkan bantuan persekolahan.

Ibu kepada 10 anak itu berkata, sukar dinafikan mereka sekeluarga sememangnya berdepan kekangan kewangan akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Hajiji dan kerajaan kerana menguruskan pemberian bantuan ini kepada kami,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|