Sipitang: Lelaki yang dikhuatiri hilang ketika keluar memukat di Pantai Palakat, di sini, awal pagi tadi, ditemui hari ini.
Mayat mangsa, Mohd Iqbal Daud, 43, ditemui kira-kira jam 1.50 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemui oleh orang awam bersama pasukan penyelamat pada jarak 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 2.25 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, mangsa seorang diri dikatakan keluar memukat ikan di pesisir Pantai Palakat, kira-kira jam 10 malam, semalam.
Bagaimanapun kira-kira jam 3 pagi tadi, beberapa nelayan menemui bot mangsa dengan keadaan enjin masih hidup dan berpusing-pusing.
Susulan itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang sebelum operasi SAR dijalankan pasukan penyelamat.
Operasi SAR turut dibantu Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
-Deasoka