KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri apabila mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.
Delegasi UCSF diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengelola UCSF, Datuk Dr. Mohd Yaakub Haji Johari bersama Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris.
Dalam kunjungan itu, Hajiji yang juga Canselor UCSF diberi taklimat mengenai perkembangan semasa universiti berkenaan, termasuk pencapaian akademik, peningkatan enrolmen pelajar, pengukuhan aktiviti penyelidikan serta hala tuju strategik institusi pendidikan tinggi terbabit di samping usaha berterusan memperbaiki serta memperkukuhkan tadbir urus universiti secara berterusan.
UCSF turut memaklumkan bahawa ambilan Julai 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan pengambilan tertinggi sejak penubuhannya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pelajar aktif universiti itu melepasi 1,100 orang pada tahun 2025.
“Sebagai usaha memperluas bidang pengajian selaras dengan keperluan pembangunan negeri dan permintaan pasaran semasa, UCSF turut memperkenalkan tiga program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Seni Bina, Master of Business Administration (MBA) dan Foundation in Science.
“Selain perkembangan akademik, UCSF turut membentangkan pelbagai inisiatif penyelidikan dan intelektual yang sedang dilaksanakan, termasuk penerbitan ilmiah, penganjuran intellectual discourse berkaitan isu semasa, siri syarahan, seminar serta persidangan akademik”, kata Dr. Rafiq ketika ditemui.
Katanya, Universiti itu juga memaklumkan penglibatan aktif sebahagian penyelidiknya bersama Centre for Development Studies dan melalui fakulti masing-masing dalam aktiviti penyelidikan serta dalam menyediakan policy brief kepada Kerajaan Negeri yang diharapkan membantu dalam memberi input yang positif dan membantu proses perancangan serta penggubalan dasar pembangunan Sabah.
Menurutnya, UCSF turut mengemukakan cadangan beberapa kursus strategik baharu yang dilihat mampu memenuhi keperluan pembangunan Sabah pada masa depan, khususnya dalam melahirkan modal insan berkemahiran dan berdaya saing.
“Pada masa sama, pihak universiti turut memohon perkenan Hajiji bagi penetapan tarikh Majlis Konvokesyen UCSF yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos 2026”, katanya.
Sementara itu, Rafiq berkata, Ketua Menteri menyambut baik perkembangan positif UCSF dan menegaskan bahawa universiti berkenaan merupakan institusi milik penuh kerajaan negeri yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan di Sabah.
Hajiji berkata, UCSF bukan sebuah entiti berorientasikan keuntungan, sebaliknya memberi fokus kepada usaha melahirkan modal insan berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
“Kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap semua aktiviti bermanfaat yang dilaksanakan oleh UCSF demi memperkukuh sektor pendidikan tinggi serta melahirkan lebih ramai graduan berkualiti bagi menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
