SOOK: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka satu Pelan Induk Hutan sebagai garis panduan untuk pengurusan sumber hutan Sabah bagi tempoh 25 tahun akan datang.
Beliau berkata ini selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk mengusahakan rasionalisasi guna tanah bagi tujuan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan konservasi alam sekitar.
“Dengan tersedianya Pelan Induk Hutan ini kelak, Kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif atau Ecological Sensitive Area (ESA) tetap dilindungi dan pada masa yang sama tidak mengabaikan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan untuk kesejahteraan rakyat Sabah.
“Perkara ini adalah seiring dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0, yang diantaranya menetapkan keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau,” katanya pada majlis perasmian Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Dataran Sook, di sini pada Sabtu.
Hajiji turut menegaskan Kerajaan Sabah sentiasa komited untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan negeri, selari dengan Dasar Hutan Sabah 2018.
Menurutnya, pada masa ini, Sabah masih mengekalkan 63 peratus kawasan litupan hutan negeri meliputi 3.85 juta hektar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.
“Bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah biodiversiti pula, Sabah komited untuk mengekalkan 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA),” katanya.
Hajiji berkata Sabah juga telah mengenal pasti sebahagian kecil kawasan hutan simpan yang terosot dengan keluasan lebih kurang 400,000 hektar untuk tujuan Pembangunan Ladang Hutan, sebagaimana termaktub dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022 – 2036).
“Pembangunan Ladang Hutan ini dilihat sebagai salah satu strategi untuk memulihkan produktiviti hutan yang terosot, serta bagi mengurangkan kebergantungan industri perkayuan tempatan terhadap bekalan balak dari hutan asli, dan memastikan sumber bekalan bahan mentah yang berkekalan,” katanya.
Ketua Menteri berkata sebagai manifestasi kepada keseimbangan pembangunan sosioekonomi dan perlindungan sumber asli, Kerajaan Sabah dengan kerjasama daripada United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF) akan mempelopori pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (FOLUR IP).
“Program ini akan melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan lebih kurang 2.1 juta hektar. Ianya akan menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi membendung kesan penghasilan minyak sawit, di samping mengekalkan kawasan konservasi hutan bernilai tinggi (HCVF) untuk faedah alam sekitar dan pembangunan.
“Program ini akan dilaksanakan di 12 daerah di Sabah, dan dijangkakan akan memberi faedah kepada lebih kurang 56,000 penduduk kawasan luar bandar,” katanya.
Pada acara yang sama, Ketua Menteri diiringi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato’ Sri Arthur Kurup menyampaikan 1,136 geran tanah Native Title (NT) untuk parlimen Pensiangan dengan jumlah keluasan 2,303.84 hektar (5,692.9 ekar).
Daripada jumlah itu, 295.51 hektar (730.22 ekar) adalah untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Nabawan, 948.82 hektar (2,344.59 ekar) untuk Dun Tulid dan 1,059.51 hektar (2,618.08 ekar) untuk Dun Sook.
