700 murid terima bantuan beg dan peralatan sekolah

700 murid terima bantuan beg dan peralatan sekolah

Tuaran: Seramai 700 murid dari 33 sekolah rendah sekitar Tuaran menerima bantuan beg dan peralatan sekolah sumbangan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri dan Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran.

Program ‘Back To School’ itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji menyerahkan bantuan beg dan peralatan sekolah kepada murid sekolah di Tuaran.

Hajiji ketika ditemui berkata, program berkenaan diadakan bagi memberi bantuan kepada murid di daerah Tuaran dan Tamparuli sempena pembukaan semula sekolah bermula esok.

Katanya, semua 700 murid itu adalah daripada keluarga kurang berkemampuan yang sudah dikenal pasti.

“Saya berharap dengan bantuan beg sekolah ini akan dapat meringankan bebanan ibu bapa kepada murid-murid yang dipilih berpandukan senarai daripada Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran.

“Inilah yang kita lakukan, kerajaan prihatin kerana kita tahu sesi persekolahan akan bermula esok dan kita akan pastikan pendidikan menjadi keutamaan bukan saja kepada anak-anak ataupun keluarga tetapi juga kerajaan negeri,”’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, pendidikan adalah salah satu modal insan sebagai teras utama dalam hala tuju Sabah Maju Jaya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|