45 pengunjung pusat hiburan dikompaun ingkar SOP

45 pengunjung pusat hiburan dikompaun ingkar SOP

Keningau: Seramai 45 individu termasuk 11 wanita yang leka berhibur dikompaun dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, di sebuah pusat hiburan di daerah ini, semalam.

Operasi bermula kira-kira jam 1 pagi itu, dijalankan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Antara pengunjung pusat hiburan yang diperiksa polis ketika operasi pematuhan SOP PPN Fasa 4 di Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, ketika operasi di pusat hiburan itu, premis berkenaan didapati beroperasi dengan muzik dan pengunjung menikmati minuman keras sambil berhibur.

“Seramai 34 lelaki dan 11 wanita berusia 20 hingga 40-an diperiksa dan dikompaun kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal yang melanggar SOP ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKTJ) PPN 2021.

Polis menjalankan pemeriksaan di pusat hiburan dalam operasi pematuhan SOP PPN Fasa 4 di Keningau.

“Seterusnya penjaga premis ditahan kerana beroperasi tanpa lesen yang sah. Turut dirampas beberapa peralatan muzik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai serta premis-premis dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan dalam PPN bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat kekal selamat.

Katanya, operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|