Tindakan boikot mesyuarat MPN tidak hormati presiden – Mustapha Sakmud

Tindakan boikot mesyuarat MPN tidak hormati presiden – Mustapha Sakmud

Kota Kinabalu: Tindakan 16 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah memboikot mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menunjukkan sikap pemimpin terbabit yang enggan berunding.

Setiausaha MPN Sabah yang baru dilantik, Mustapha Sakmud berkata, tindakan terbabit turut menunjukkan sikap mereka yang tidak menghormati Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mustapha Sakmud

“Kami ingin mengingatkan Ketua-Ketua Cabang yang memboikot Mesyuarat MPN, ia bermakna mereka tidak menghormati Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang telahpun berunding dengan semua Ketua-Ketua Cabang pada mesyuarat MPN pada 8 September lalu serta memberi nasihat agar Pengerusi MPN dikekalkan sehingga pemilihan parti yang akan datang.

“Fokus utama kita adalah untuk bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan memantapkan jentera parti di cabang-cabang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Semalam, seramai 16 Ketua Cabang PKR diketuai Pengerusi Sekretariat Ketua-Ketua Cabang Sabah yang juga Ketua Cabang PKR Labuan, Simsudin Sidek bertindak memboikot mesyuarat MPN sebagai tanda protes Ketua-Ketua Cabang yang menolak kepimpinan Pengerusi MPN Sabah, Datuk Christina Liew.

Dalam kenyataannya semalam juga, Simsudin turut membuat spekulasi mengatakan pengguguran Mustapha daripada jawatan Timbalan Pengerusi MPN yang dipegangnya sebelum ini berkemungkinan akibat kegagalan beliau membantu Christina mendapatkan sokongan majoriti Ketua-Ketua Cabang Keadilan Sabah.

Beliau turut mendakwa mesyuarat MPN yang diadakan semalam tidak cukup korum, namun diteruskan dengan memasukkan beberapa individu yang dilantik secara terus.

Namun, dakwaan itu dinafikan Mustapha sambil menegaskan mesyuarat MPN yang diadakan semalam adalah cukup korum berdasarkan rekod kehadiran jawatan dan mematuhi perlembagaan parti.

Mustapha berkata mesyuarat adalah sah dan mencukupi korum walaupun tanpa kehadiran Ketua-Ketua Cabang yang cuba memboikot mesyuarat selepas diberi notis lebih awal dengan menyatakan mesyuarat diadakan secara hibrid iaitu kehadiran secara fizikal dan secara maya untuk memberi kemudahan kepada kehadiran ahli-ahli MPN.

“Dalam mesyuarat itu, MPN Sabah distruktur semula bagi memantapkan jentera PKR di negeri ini bagi menghadapi PRU yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“MPN telah meluluskan perubahan pimpinan ini dengan persetujuan majoriti ahli-ahli MPN yang hadir pada mesyuarat dengan kuasa jawatan yang diberikan mengikut perlembagaan parti.

“Presiden Parti juga sudah dimaklumkan berkaitan perubahan ini terutama melibatkan pimpinan utama berdasarkan Fasal 27.5 perlembagaan parti,” katanya.

Jelasnya, pihak yang tidak berpuas hati dengan pengurusan dalaman parti dan perubahan kepimpinan diminta menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan protes serta mengelak daripada menggunakan media secara terbuka.

Sementara itu, penstrukturan MPN Sabah menyaksikan jawatan Timbalan Pengerusi yang sebelum ini dipegang Mustapha yang juga Ketua Cabang Kota Belud bertukar tangan kepada Ketua Cabang Putatan yang juga Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Saari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim pula dilantik sebagai Naib Pengerusi MPN 1, manakala Naib Pengerusi 2 dan 3 masing-masing dipegang oleh Datuk John OT Ghani serta Abdul Razak Jamil.

Turut dilantik dalam barisan MPN PKR Sabah yang baharu ialah Remysta Taylor sebagai Setiausaha Pengelola MPN, Tgonny Chee sebagai Timbalan Ketua Penerangan dan Dikin Musa sebagai Ketua Biro Disiplin MPN.

Selain itu, empat senarai Ahli MPN yang baharu turut diumumkan iaitu Alijus Sipil, Ramlan Naim, Akbar Nusah dan Fauziah Abdul Lahap.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|