Kaji semula keputusan memotong elaun atlet – Huazong

Kaji semula keputusan memotong elaun atlet – Huazong

Kota Kinabalu: Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) menggesa Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengkaji semula keputusannya baru-baru ini yang memotong elaun atlet kebangsaan.

Presidennya, Tan Sri TC Goh, berkata MSN sebaliknya perlu meningkatkan elaun atlet mengikut kemampuan kewangannya.

Katanya, ia perlu supaya atlet kebangsaan dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap latihan tanpa sebarang kebimbangan dan kembali meningkatkan standard sukan kebangsaan.

Beliau turut menyifatkan penjelasan kerajaan bahawa penstrukturan semula elaun atlet dilaksanakan berikutan situasi semasa ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19, selain bencana banjir sebagai sesuatu yang tidak meyakinkan.

“Apa yang jelas ramai atlet kebangsaan terjejas akibat pandemik Covid-19 dan mungkin juga turut terjejas akibat banjir besar yang berlaku baru-baru ini.

“Kerajaan tidak seharusnya menggunakan pendekatan ‘satu saiz untuk semua’ terhadap atlet kebangsaan kita, khususnya dengan tidak memotong elaun bulanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman yang dibuat Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada Rabu lalu berhubung semakan semula elaun atlet kebangsaan yang diberi kontrak baharu untuk menjalani program latihan pada tahun ini berdasarkan prestasi mereka sejak 2018.

Ahmad Shapawi turut menjelaskan penstrukturan semula elaun dibuat berikutan situasi semasa ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19, selain bencana alam yang melanda negara baru-baru ini.

Kesal dengan tindakan MSN itu, Goh berharap ia tidak menyebabkan ‘kehilangan besar’ selepas ini kepada kerajaan dan MSN.

Beliau berharap kerajaan memahami kepentingan pembangunan sukan kepada negara, khususnya dalam meningkatkan imej global dan ‘kuasa lembut’ sukan.

Sehubungan itu, beliau menyokong gesaan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker supaya MSN mengkaji semula penetapan elaun bulanan atlet kebangsaan di bawah program mereka pada tahun ini berdasarkan kes demi kes.

“Kerajaan perlu lebih bertimbang rasa terhadap atlet kebangsaan kita apabila mengambil tindakan seumpama itu, khususnya dalam kes atlet sepenuh masa yang tiada sumber pendapatan lain dan turut terjejas akibat pandemik Covid-19, selain banjir.

“Kerajaan bukan saja tidak sepatutnya mengurangkan elaun bulanan mereka, sebaliknya tingkatkan lagi jika perlu,” katanya.

Goh yang juga Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) percaya jika kerajaan meneruskan cadangan menurunkan elaun bulanan berkenaan, ia pasti akan mengakibatkan kesukaran kewangan kepada atlet kebangsaan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan sering memberi jaminan kedudukan kewangan negara masih mencukupi untuk berdepan dengan pandemik Covid-19 dan sebarang bencana alam.

“Justeru, kerajaan seharusnya tampil dengan penyelesaian yang lebih baik untuk mengatasi apa saja isu, berbanding membuat keputusan memotong elaun bulanan atlet kebangsaan kita,” katanya.

Sementara itu, Goh turut menggesa supaya kerajaan juga memberi perhatian terhadap atlet kebangsaan yang mana kontrak mereka tidak disambung dan membantu mereka.

Selain itu, katanya kerajaan juga seharusnya membuat sesuatu untuk mereka terus menyumbang kepada negara dengan cara lain seperti sebagai jurulatih atau timbalan jurulatih bagi membantu memupuk atlet muda dalam bidang tertentu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|