Pembinaan Jalan Kalabakan-Serudung perlu disegerakan – Bung Moktar

Pembinaan Jalan Kalabakan-Serudung perlu disegerakan – Bung Moktar

Tawau: Kerajaan Pusat diminta supaya mempercepatkan cadangan pelaksanaan projek pembinaan Jalan Kalabakan – Serudung yang akan menghubungkan Sabah dengan wilayah Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pembinaan jalan sepanjang 39 kilometer itu perlu disegerakan bagi membuka peluang kepada pembangunan lain yang menyusul apabila jalan raya berkenaan siap.

Bung Moktar bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd Jasmin Juplin dan Pengarah JKR Sabah, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid ketika tinjaun di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

Katanya, pembangunan infrastruktur itu diyakini memberi manfaat kepada rakyat di Tawau dan Kalabakan selain turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat termasuk dalam sektor pelancongan.

Berikutan itu, beliau berkata akan membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan ia dapat dilaksanakan segera.

Bung Moktar meneliti pelan cadangan Jalan Kalabakan – Serudung, berhampiran sempadan Malaysia – Indonesia.

“Pelaksanaan projek jalan raya ini perlu disegerakan memandangkan ia adalah salah satu ‘game changer’ yang boleh mengubah landskap Sabah dari pelbagai sudut ke arah yang lebih baik.

“Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri kerana saya yakin pelaksanaan ini mampu membangunkan Sabah yang secara tidak langsung dapat membawa Sabah keluar daripada masalah kemiskinan dan kemunduran,” katanya.

Bung Moktar ketika melawat projek empangan bekalan air di Kampung Cinta Mata, Tawau.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata demikian selepas meninjau cadangan laluan Jalan Kalabakan – Serudung hingga ke sempadan Malaysia – Indonesia di Kalabakan, dekat sini.

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata, kerja-kerja pembinaan empangan air Cinta Mata Tawau yang sebelum ini sedikit tergendala akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan semula.

Beliau memberi jaminan kerja-kerja pembinaan empangan berkenaan dapat dilaksanakan mengikut jadual setelah menerima taklimat daripada kontraktor terlibat ketika tinjauannya di lokasi.

Bung Moktar berharap, rakyat Tawau yang terjejas dengan masalah bekalan air agar dapat bersabar kerana kerajaan yang ada pada hari ini sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Jelas beliau lagi, usaha penghantaran air menggunakan lori tangki air sedia ada akan diteruskan di kawasan yang mengalami gangguan bekalan air sebagai usaha penyelesaian jangka pendek.

Katanya, isu kekurangan lori tangki air juga akan ditangani dengan melibatkan kontraktor air dari luar bagi memastikan penghantaran bekalan air ke kawasan terjejas mencukupi dan berjalan lancar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|