Warga emas parah dalam kemalangan meninggal dunia

Warga emas parah dalam kemalangan meninggal dunia

Beaufort: Pemandu warga emas yang parah selepas kereta dipandunya bertembung dengan Toyota Yaris, di Jalan Kampung Takuli, di sini, semalam, disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, mangsa yang dikenali sebagai Buntar @ Masdah Mohamad, 72, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Beaufort.


Keadaan kereta Perodua Kancil dipandu mangsa rosak teruk selepas terbabit kemalangan di Beaufort.

Katanya, hasil siasatan mendapati, mangsa yang memandu Perodua Kancil bergerak dari arah Menumbok menuju ke Beaufort.

“Manakala pemandu Toyota Yaris pula bergerak dari arah bertentangan dari Beaufort menuju ke Menumbok.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Toyota Yaris yang dipandu lelaki berusia 27 tahun dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan mangsa yang maut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa warga emas terbabit mengalami kecederaan parah.

Katanya, kedua-dua pemandu tidak disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah namun sampel darah diambil untuk analisis Jabatan Kimia.

“Kemalangan dipercayai disebabkan kecuaian pemandu berusia 27 tahun terbabit yang gagal mengawal pergerakan kenderaannya sehingga terbabas masuk ke laluan sebelah dan bertembung dengan kereta Perodua Kancil.

“Walaubagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|