Dokumentari ‘Menarik di Sabah..Orang Kita Bah’ promosi keunikan Sabah

Dokumentari ‘Menarik di Sabah..Orang Kita Bah’ promosi keunikan Sabah

Kota Kinabalu: Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan DRH Ventures Sdn Bhd bagi penerbitan dokumentari televisyen bertajuk ‘Menarik di Sabah..Orang Kita Bah’.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin yang menyaksikan majlis menandatangani MoU itu, semalam, menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai usaha yang baik dalam mempromosi keunikan negeri ini.

Jafry menandatangani plak simbolik pelancaran kerjasama penerbitan dokumentari di antara LKNS dan DRH Ventures.

Beliau berkata, MoU itu juga mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua pihak yang bermula tahun lalu untuk menghasil dan menerbitkan dokumentari berkaitan pelbagai etnik yang ada di Sabah.

“Cadangan untuk mengadakan kerjasama penerbitan dokumentari TV bertajuk ‘Menarik di Sabah..Orang Kita Bah’ di antara LKNS dan DRH Ventures Sdn Bhd bermula sejak tahun lalu dan akhirnya kedua-dua pihak bersetuju bagi menterjemahkan niat kerjasama dalam bentuk MoU.

Jafry (berdiri tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara LKNS dan DRH Ventures.

“Penerbitan dokumentari TV bertajuk ‘Menarik di Sabah..Orang Kita Bah’ melibatkan penggambaran video dokumentari sebanyak 16 episod yang memaparkan keunikan 30 etnik yang ada di Sabah,” katanya, di sini.

Beliau berkata, antara etnik yang terbabit dalam dokumentari itu ialah Orang Sungai (Sandakan), Suluk, Tatana, Tobilung, Brunei, Bannaran, Idahan, Rungus, Tombonuo, Sukang dan Murut.

Selebihnya ialah Bisaya, Sandayo, Begak, Dumpas, Tidung, Molbog, Gobukon, Dusun Bundu, Dusun Bonggi, Suang Lotud, Iranun, Dusun Subpan, Kimaragang, Dusun Kujau, Lundayeh, Bajau Sama (Tuaran), Tinagas, Bajau Laut dan Dusun Tindal.

“Pengisian segmen yang bakal dimasukkan meliputi cara hidup, bahasa, seni bina rumah, tarian, alat muzik, pakaian tradisional, kraf tangan dan destinasi pelancongan setiap bandar di Sabah,” katanya.

Jafry berkata, antara objektif penerbitan dokumentari itu ialah untuk mempromosi keunikan budaya etnik Sabah melalui media pencetakan, elektronik dan maya.

Pada masa sama, katanya ia juga bagi menarik minat dan tumpuan masyarakat Malaysia berkaitan negeri Sabah khususnya kebudayaan etniknya serta menjadikan keunikan budaya sebagai daya tarikan utama kepada pelancong luar dan dalam negara untuk berkunjung ke Sabah.

Beliau berkata, selain filem dokumentari, penerbitan buku meja kopi turut dilakukan yang disasarkan untuk diedarkan ke Pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) melalui pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara.

“Menerusi kaedah ini, maklumat pelancongan budaya di Sabah dapat disebar luas ke seluruh pelosok dunia,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama berkenaan, Jafry berkata antara keunikannya ialah pembabitan 80 peratus tenaga kerja produksi daripada rakyat Sabah sepanjang pembikinan dokumentari.

Langkah itu, katanya bermakna kerjasama berkenaan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Sabah untuk terlibat secara langsung dalam penerbitan filem.

Jelasnya, bagi memastikan budaya etnik yang dipaparkan dalam dokumentari itu adalah sahih, badan kebudayaan khususnya persatuan etnik akan dilibatkan secara langsung sepanjang penggambaran dokumentari.

“Menerusi kaedah itu, badan-badan kebudayaan turut sama mendapat limpahan faedah daripada kerjasama kedua-dua pihak,” katanya.

Jafry berkata, kerjasama penerbitan dokumentari itu akan menyaksikan pegangan hak cipta secara sama rata iaitu masing-masing 50 peratus oleh LKNS dan DRH Venture Sdn Bhd.

Tambahnya, kedua-dua pihak komited untuk menghasilkan video dokumentari yang berkualiti tinggi bukan sahaja untuk tayangan dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa iaitu National Geographic.

“Adalah diharapkan agar dengan termeterainya perjanjian persefahaman ini dapat menyumbang ke arah pemuliharaan kebudayaan pelbagai etnik dan seterusnya menyumbang kepada inisiatif Pelancongan Budaya Bersepadu di bawah Sabah Maju Jaya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|