Sempat keluar kereta terbakar

Sempat keluar kereta terbakar

Kota Kinabalu: Seorang lelaki sempat keluar daripada kereta dipandu yang tiba-tiba terbakar di tepi jalan dekat lampu isyarat Indah Permai, Jalan Sepanggar, di sini, hari ini.

Pemandu kereta jenis Proton Saga FLX berusia 40-an itu keluar menyelamatkan diri sebaik melihat asap daripada bahagian depan keretanya.


Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan kereta Proton Saga FLX di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 6.04 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Api dapat dikawal jam 6.30 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 6.53 pagi.

“Proton Saga berkenaan terbakar sepenuhnya manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|