Dua lelaki ditahan, lebih satu kilogram syabu dirampas

Dua lelaki ditahan, lebih satu kilogram syabu dirampas

Tawau: Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan merampas dadah syabu seberat 1,039.82 gram dianggarkan bernilai RM36,000 dalam Ops Tapis di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya, di sini, semalam.

Serbuan jam 1.40 tengah hari oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, turut merampas wang tunai berjumlah RM50,000.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika serbuan dijalankan sepasukan polis telah menahan dua lelaki bersama dua kenderaan jenis Isuzu D Max dan Honda Civic.

Katanya, hasil pemeriksaan merampas satu bungkusan plastik yang mengandungi ketulan disyaki dadah jenis syabu.

“Ketika tangkapan dilakukan, salah seorang suspek cuba bertindak melarikan diri dari kepungan polis namun berjaya ditahan.

“Hasil daripada tangkapan itu, wang tunai sebanyak RM50,000 telah disita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, barang rampasan dibawa ke IPD Tawau dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 11 April 2022.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita meminta kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat aktiviti atau kegiatan penyalahgunaan dadah kepada IPD Tawau atau balai polis berdekatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|