JANS perlu tangani segera isu air di Sipitang – Sani

JANS perlu tangani segera isu air di Sipitang – Sani

Sipitang: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang hari ini menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya bertindak segera menangani isu bekalan air di daerah ini.

Ketuanya, Sani Miasin berkata, ibu pejabat JANS dan daerah perlu segera mengambil tindakan proaktif menyelesaikan masalah air di daerah ini dan Sindumin yang berlarutan sejak sekian lama.

Sani (kiri) ketika meninjau lokasi paip yang pecah dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Pantai Sipitang.

Beliau berkata, isu gangguan bekalan air adalah antara masalah utama yang sering dihadapi oleh penduduk kampung dalam kawasan Parlimen Sipitang.

“Hampir setiap hari Pemuda UMNO Sipitang menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung masalah ketiadaan bekalan air. Terdapat kampung yang menghadapi masalah air sehingga berminggu-minggu.

“Keadaan bertambah buruk apabila kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo menyebabkan saluran paip pecah, kelewatan mengalihkan saluran paip daripada jajaran jalan raya, masalah tekanan dan kerosakan pam di loji air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sani mengulas laporan yang tular di media sosial mengenai lebih 300 penduduk Sipitang terjejas akibat saluran paip pecah yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di kawasan berkenaan.

Penduduk dari beberapa kampung di daerah ini terpaksa berhimpun di Jalan Pantai Sindumin pada Isnin bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung masalah air yang dihadapi mereka sejak dua minggu lalu.

Mereka berhimpun sejak awal pagi untuk mendapatkan penjelasan daripada wakil kontraktor dan menuntut supaya paip yang rosak dibaiki segera agar bekalan air dapat disalurkan kepada rumah penduduk yang terjejas.

Sani berkata, keadaan itu menyukarkan penduduk kampung ditambah pula umat Islam sedang menjalani ibadah puasa Ramadan yang mana bekalan air sangat diperlukan ketika ini untuk kerja harian.

“Disebabkan tiada air, penduduk terpaksa bergantung kepada tadahan air hujan serta atas inisiatif sendiri membeli air bersih di Pekan Sipitang untuk kegunaan seharian.

“JANS dan pihak berkenaan perlu bertindak proaktif menghantar bantuan air menggunakan lori tangki air ke lokasi yang sering berlaku gangguan bekalan air, lebih-lebih lagi pada musim Ramadan ini,” katanya.

Sani berkata, Pengarah baharu JANS dan pegawainya perlu turun padang, meninjau dan mencari jalan menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk Sipitang, memandangkan JANS Daerah Sipitang menghadapi kekangan dalam menangani masalah itu sejak sekian lama.

Menurutnya, kegagalan JANS menyelesaikan masalah air di Sipitang akan menjejaskan nama baik Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, Kerajaan GRS-BN amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini, namun sekiranya jabatan kerajaan berkaitan yang dipertanggungjawabkan gagal bertindak dan menangani masalah rakyat, nama baik Kerajaan GRS-BN yang terjejas.

Beliau juga memohon agar Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Tan Sri Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yakub bersama-sama tampil membantu penduduk kampung yang terjejas akibat masalah gangguan bekalan air yang tiada kesudahan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|