Warga emas hilang hampir 24 jam ditemui selamat

Warga emas hilang hampir 24 jam ditemui selamat

Tawau: Lelaki warga emas yang hilang sejak semalam, selepas tidak pulang ke rumahnya di Bukit Kukusan, di sini, ditemui selamat pagi tadi selepas hampir 24 jam hilang.

Mangsa berusia 60 tahun terbabit ditemui kira-kira jam 9 pagi tadi oleh pasukan operasi yang menjalankan mencari dan menyelamat (SAR).

Warga emas yang dilaporkan hilang ditemui selamat oleh pasukan bomba dan penduduk kampung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemui oleh pasukan bomba, 200 meter dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Katanya, mangsa berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan kesihatan.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.22 pagi,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam kejadian semalam, mangsa, Masjid Bachi, 60, dilaporkan kali terakhir dilihat ketika keluar di kawasan luar rumah kira-kira jam 10 pagi.

Sebaik disedari hilang, keluarga mangsa terus menghubungi Balai Polis Tawau untuk mendapatkan bantuan sebelum pasukan bomba dimaklumkan untuk gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|