Tiada sebab serah kerusi UMNO kepada parti lain

Tiada sebab serah kerusi UMNO kepada parti lain

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata tiada sebab bagi UMNO menyerahkan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu kepada parti lain termasuk BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun ada pihak termasuk BERSATU menuntut akan mempertahankan kerusi Parlimen yang disandang mereka sekarang pada PRU-15 nanti.

“Tiada sebab kami menyerahkan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO ini kepada parti lain pada PRU-15, ketetapan ini bukan hanya oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tetapi ia lahir daripada suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU-15,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun pada semalam yang menegaskan parti berkenaan akan mempertahankan enam kerusi yang diwakili parti itu ketika ini pada PRU-15.

Siti Aminah berkata, UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama, namun menyedari ia adalah lumrah sebuah negara demokrasi.

Bagaimanapun, katanya kekuatan UMNO dan akar umbinya yang bangkit tidak harus sesekali diperkecilkan.

“UMNO parti terbesar di negara ini, maka kemenangannya sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh.

“Dominan bukan pula bermaksud angkuh tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan,” katanya.

Sementara itu Setiausaha UMNO Bahagian Sipitang, Abdul Rahman Mohd Noh ketika dihubungi berkata, UMNO bahagian itu juga akan mempertahankan kerusi Parlimen Sipitang yang dimenangi atas tiket UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, tiada alasan bagi parti itu menyerahkan kepada parti lain untuk bertanding di kawasan itu kerana umum mengetahui kerusi berkenaan sebelum ini dimiliki oleh UMNO.

“Demi maruah parti kerusi Parlimen Sipitang perlu dipertahankan pada PRU-15. Kita telah bergerak dan mengaktifkan sebanyak 30 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan jentera parti kini dalam keadaan siap siaga menghadapi PRU-15.

“Insya-Allah kita yakin UMNO dengan strategi dan gerak kerja yang telah dan sedang diatur akan mengembalikan kerajaan BN sebagai tonggak pentadbiran negara pada PRU-15,” katanya.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort menyebut BERSATU Sabah akan mempertahankan enam kerusi diwakili parti itu di Sabah ketika ini iaitu Sipitang, Beaufort, Beluran, Libaran, Kudat dan Ranau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|