Negara rugi RM560 juta akibat jenayah siber tahun lalu

Negara rugi RM560 juta akibat jenayah siber tahun lalu

Kota Kinabalu: Negara mencatat sebanyak RM560 juta kerugian menerusi lebih 20,000 kes jenayah siber pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, jenayah siber yang direkodkan termasuk berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel.

Abdul Halim ketika berucap sempena Majlis Perasmian Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Kota Kinabalu.

Katanya, isu keselamatan siber adalah antara isu penting yang perlu diberi perhatian susulan peningkatan mendadak kes yang dilaporkan di negara ini.

“Saban tahun, jumlah kes yang direkodkan berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel telah meningkat hampir sekali ganda.

“Pada tahun 2021, bilangan kes jenayah siber telah meningkat kepada lebih 20,000 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM560 juta berbanding 13,000 kes dan kerugian berjumlah RM539 juta yang telah direkodkan pada 2019,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, di sini, hari ini.

Katanya lagi, keselamatan siber yang kukuh adalah amat penting ketika negara menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kerana ia bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital.

“Sebarang isu melibatkan keselamatannya bakal memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat. Ketika kita bergerak ke hadapan dan hidup dengan teknologi di mana bandar pintar sedang dibina dan misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital.

“Banyak ancaman semasa dan baharu muncul membabitkan teknologi baharu yang tidak pernah didengari dalam tempoh sedekad yang lalu.

“Pada masa sama, landskap keselamatan negara ketika ini berubah dengan lebih pantas berbanding sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, mengikuti perubahan ini adalah antara cabaran terbesar dalam memastikan pertahanan dan keselamatan negara dan Sasaran Penting terjamin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|