Beluran: UMNO Bahagian Beluran tidak memberi peluang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk mengambil kerusi tradisi mereka di Beluran.
Ketuanya, Julie Sabran berkata, BERSATU seharusnya sedar kerusi berkenaan bukan milik mereka dan menghormati perkara berkenaan.
Katanya, mengambil kerusi yang bukan hak mereka adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku jelas memperlihatkan BERSATU Sabah sendiri tidak menghormati kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
“Saya menegaskan selaku Ketua UMNO Bahagian Beluran akan pertahankan sehabis-habisnya, kita lawan tetap lawan. Kita tidak akan beri seincipun peluang kepada BERSATU untuk mengambil kerusi Parlimen Beluran.
“Jika itu mereka nyatakan, ternyata mereka sendiri yang tidak menghormati kerajaan GRS-BN kerana mahukan yang bukan hak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi untuk mengulas kenyataan Ketua Srikandi BERSATU Sabah Datuk Azizah Mohd Dun yang menegaskan kekal mempertahan enam kerusi Parlimen termasuk Beluran yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Enam kerusi berkenaan iaitu Parlimen Kudat, Ranau, Beaufort, Sipitang, Libaran dan Beluran.
Julie berkata, adalah tidak wajar BERSATU Sabah yang dahulunya bertanding atas tiket BN sebelum bertukar parti menyatakan ingin mengekalkan kerusi itu.
“Sepatutnya mereka kosongkan kerusi itu untuk memberi peluang kepada rakyat memilih semula pemimpin yang benar-benar diberikan mandat,” katanya.
Julie berkata, UMNO Beluran tidak akan memberikan peluang kepada BERSATU, sebaliknya kekal mempertahankan kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
-Deasoka