Tiada masalah agihan kerusi dalam GRS – Masidi

Tiada masalah agihan kerusi dalam GRS – Masidi

Semporna: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah tidak mempunyai masalah mengenai soal pembahagian kerusi dengan parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata pembahagian kerusi dalam GRS tidak menjadi satu masalah besar.

Masidi pada majlis ramah mesra bersama pemimpin akar umbi di Semporna.

Katanya, walaupun mungkin ada yang bertindih, namun semua parti komponen boleh bertolak ansur bagi memastikan kemenangan berpihak kepada GRS.

“Bagaimanapun, perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) masih dalam rundingan dan belum dimuktamatkan lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pemimpin akar umbi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, BERSATU Sabah juga sudah meminta semua ketua bahagian untuk menghantar nama yang mahu dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Masidi berkata, setiap bahagian sudah diminta menghantar nama calon, namun sama ada bertanding atau tidak, ia bergantung kepada rundingan mengenai agihan kerusi.

“Kita mahukan semua calon yang kita letakkan dalam PRU akan datang boleh memenangi kerusi kerana itu yang penting.

“Kita tidak mahu angkat semua jadi calon, tapi tidak boleh menang, sebaliknya mereka mesti dilihat boleh memenangi hati rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|