Kerajaan Sabah sumbang RM200,000 kepada Paroki Gereja St Michael

Kerajaan Sabah sumbang RM200,000 kepada Paroki Gereja St Michael

Penampang: Sebanyak RM200,000 bantuan kewangan diserahkan kerajaan negeri kepada Paroki Gereja Saint (St) Michael, di pejabat gereja itu, di sini, hari ini.

Bantuan kewangan sebanyak RM200,000 itu adalah untuk menambah baik tanah perkuburan dan struktur lain yang telah dikenal pasti oleh ahli jawatankuasa paroki gereja berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang diwakili Pembantu Menterinya, Datuk Abidin Madingkir, hadir menyampaikan sumbangan itu kepada Pengerusi Kewangan dan Harta Benda Paroki Gereja St Michael Penampang, Ernest Mojikon.

Bantuan kewangan daripada kerajaan negeri itu juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan, yang melihat ada keperluan untuk menambah baik kemudahan rumah ibadat bukan Islam seperti gereja di negeri ini.

Sementara itu, bagi memastikan kebajikan semua kaum dan agama di Sabah akan terjaga, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM47 juta untuk badan agama bukan Islam dan sekolah vernakular, mubaligh serta sekolah persendirian di seluruh negeri, pada tahun ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|