Kota Kinabalu: Mayat wanita tanpa identiti ditemui di dalam pondok usang di kawasan semak yang terletak kira-kira 500 meter daripada sebuah stesen minyak, di Tebobon, Jalan Tuaran, hari ini.
Mayat yang ditemui orang awam pada jam 10.15 pagi itu didapati mulai reput dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih dari tiga hari.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal, mangsa dipercayai seorang warga asing berusia 50-an.
Katanya, berdasarkan keadaan mayat, kematian berlaku dipercayai melebihi tiga hari dengan sebahagian besar mayat berkenaan sudah reput tinggal tulang.
“Mayat ditemui dalam keadaan terbaring di dalam pondok usang yang dipercayai dijadikan tempat tinggal mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan sekitar tempat kejadian juga didapati tiada sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan jenayah.
Katanya, temubual awal yang dijalankan terhadap beberapa penduduk sekitar juga sukar mendapat kerjasama dan semua mereka menyatakan tidak mengenali mangsa.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke bahagian Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk ujian Covid 19 sebelum bedah siasat dijalankan.
“Siasatan lanjut diteruskan untuk mengenalpasti identiti serta keluarga mangsa dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
-Deasoka