Kota Belud: Lelaki warga emas yang disedari hilang sejak awal pagi tadi, selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Bangkahak Nayasan, di sini, ditemui selamat, hari ini.
Mangsa berusia 80 tahun terbabit ditemui pada jam 11.50 pagi oleh pasukan bomba kira-kira 200 meter dari rumahnya dalam keadaan selamat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat selepas dipercayai tersesat di kawasan hutan berhampiran rumahnya.
“Mangsa diberikan pemeriksaan awal kesihatan bagi memastikan keadaannya selamat sebelum dibawa balik ke rumahnya.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sejurus selepas itu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam kejadian awal pagi tadi, mangsa yang dikenali sebagai Yasap, 80 tahun, dikatakan keluar dari rumah seorang diri ke kawasan hutan sebelum disedari hilang oleh ahli keluarganya kira-kira jam 3 pagi.
Usaha mencari mangsa terus dilakukan ahli keluarga dan penduduk kampung di sekitar lakasi namun masih gagal menemuinya.
Mereka kemudiannya bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
-Deasoka