Program Sunathon: Mudahkan urusan berkhatan anak anggota tentera

Program Sunathon: Mudahkan urusan berkhatan anak anggota tentera

Putatan: Bersempena dengan cuti akhir tahun sesi persekolahan, seramai lebih kurang 50 anak-anak anggota tentera Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi telah menyertai program berkhatan yang diadakan secara besar-besaran.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, penganjuran program tersebut bertujuan untuk membantu anggota tentera dan masyarakat dalam pengurusan berkhatan anak-anak mereka.

Shahelmey menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang anggota tentera, sambil disaksikan Abdul Rahman.

“Program Sunathon peringkat 5 Divisyen ini melibatkan seramai lebih kurang 50 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak anggota tentera yang bertugas di divisyen ini.

“Sesungguhnya program ini dilihat dapat membantu memudahkan urusan para ibu bapa untuk mengurus proses berkhatan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Sunathon peringkat 5 Divisyen di Dewan Kinabalu, Kem Lok Kawi, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata, ini bukan pertama kali program seumpama dilaksanakan di daerah ini.

“Ini merupakan tahun ketiga kita melaksanakan Program Sunathon ini, ia telah bermula sejak hujung tahun 2020 dan 2021, kita melaksanakan aktiviti ini di Masjid Daerah Putatan bagi peringkat daerah” katanya.

Sementara itu, Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab berkata, selain memudahkan, program ini juga mampu mengurangkan kadar perbelanjaan ibu bapa dalam proses berkhatan anak mereka.

“Dengan program ini, secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar perbelanjaan mereka yang mana kalau di luar, harganya lebih kurang RM250 manakala di sini kita buat secara percuma.

“Kita hanya menyiapkan tenaga kerja iaitu daripada anggota-anggota perkhidmatan kesihatan kita dan mereka yang melaksanakan tugas,” katanya.

Turut diadakan dalam majlis itu adalah penyampaian sumbangan bakul makanan kepada anggota-anggotq tentera 5 Divisyen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|