Dakwaan Shafie ‘hipokrit’ – Mandela

Dakwaan Shafie ‘hipokrit’ – Mandela

Kota Kinabalu: Dakwaan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa tindakan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meninggalkan BERSATU menjejaskan kestabilan politik di Sabah disifatkan sebagai hipokrit.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ceasar Mandela Malakun berkata, memang itulah yang dilakukan WARISAN sejak kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, selain mahu menjatuhkan kerajaan GRS-BN sejak hari pertama ia mengambil alih pentadbiran negeri daripada WARISAN.

Menurut beliau, ia sama seperti apa yang mereka lakukan kepada kerajaan negeri di bawah BN pada 2018.

“Dari semasa ke semasa, mereka menyebarkan khabar angin bahawa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ingin meninggalkan gabungan GRS-BN untuk membentuk kerajaan negeri dengan beliau (Shafie) sebagai Ketua Menteri.

“Saya rasa ia adalah permainan WARISAN untuk memberi harapan kepada ADUN mereka dan menghalang mereka daripada meninggalkan parti,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mandela berkata, beliau tidak hairan langsung apabila WARISAN kini mencipta satu lagi helah untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri, dengan mempersoalkan kesahihan Ketua Menteri dan kerajaan negeri.

Katanya, Shafie dan partinya tidak henti-henti menyerang pemimpin GRS dan BN, sama ada dari segi politik mahupun peribadi, untuk membuat rakyat menentang Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Mereka sedia maklum bahawa tuduhan mereka atau seperti yang diistilahkan oleh Shafie, ‘kebimbangan’, tidak berasas.

“Tetapi mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjejaskan kestabilan kerajaan semata-mata untuk naik ke atas.

“Mereka mewar-warkan bahawa mereka adalah satu-satunya parti tempatan Sabah yang tulen dan mereka akan memperjuangkan hak Sabah.

“Kemudian mereka pergi dan membuka cawangan di Malaya, tetapi tidak pernah sekali pun menyebut hak Sabah semasa berkempen di sana.

“Naratif WARISAN memang sentiasa mengenai maklumat yang salah dan memanipulasi fakta untuk menguntungkan parti dan pemimpin mereka. Mereka tidak mempedulikan implikasi penipuan mereka; mereka hanya memanggilnya politik,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Sabah perlu sentiasa berhati-hati dengan kata-kata daripada pemimpin WARISAN.

Malah, beliau berkata, kerajaan GRS-BN adalah stabil seperti selalu dan tidak timbul persoalan mengemai kesahihan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

“GRS ialah parti yang mempunyai 30 ADUN ditambah enam ADUN mesra-GRS. Rakan kongsi kita, BN Sabah mempunyai 17 ADUN, manakala tujuh ADUN PH Sabah telah memberikan sokongan mereka kepada Hajiji.

“Jika WARISAN ikhlas terhadap Sabah dan rakyatnya, mereka harus memainkan peranan mereka sebagai pembangkang yang bertanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|