92 PATI Indonesia dihantar pulang

92 PATI Indonesia dihantar pulang

Tawau: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, menghantar balik seramai 92 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal, hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, ia membabitkan seramai 71 lelaki, 20 wanita dan seorang kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

92 PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara mereka menggunakan pengangkutan laut

Katanya, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen Tawau sebelum dipindahkan menggunakan pengangkutan laut iaitu Mid East Express ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

“Ini adalah program pemindahan siri 21 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2022 ke negara asal masing-masing.

“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha mengingatkan semua warga asing supaya sentiasa memastikan diri memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan.

Katanya, Jabatan Imigresen Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi Pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|