Kota Belud: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang di hutan di Kampung Melangkap Kapa, di sini, sejak Khamis lalu, ditemui selamat, hari ini.
Wanita berusia 74 itu ditemui dalam keadaan lemah dengan kecederaan luka di kepala pada jam 10.43 pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik ditemui, pasukan operasi terus memberikan rawatan awal kepada mangsa.
Katanya, mangsa terus di bawa ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dalam keadaan selamat.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Gorin Galais, 74, dilaporkan masuk ke hutan berkenaan dipercayai untuk mengambil hasil kebun.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai tersesat di dalam hutan berkenaan dan kejadian hanya disedari ahli keluarga mangsa petang semalam.
Pasukan bomba dan penyelamat yang menerima laporan terus melancarkan operasi mencari mangsa sejak petang semalam sebelum ditangguhkan dan disambung semula hari ini.
-Deasoka