Sandakan: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan mengadakan karnival di negeri ini sempena sambutan 100 Tahun Koperasi Membangun Keluarga Malaysia.
Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya SKM, Julie Sabran berkata, tahun ini merupakan sambutan 100 tahun koperasi selepas mula bertapak pada tahun 1922.
Katanya, susulan daripada itu setiap negeri diminta untuk mengadakan program sempena sambutan 100 tahun koperasi berkenaan.
“SKM Sabah akan mengadakan karnival pameran dan jualan koperasi peringkat negeri di Kota Kinabalu pada 3 hingga 5 Jun ini.
“Pelbagai aktiviti akan diadakan seperti jualan produk koperasi, pameran agensi kerajaan, forum perdana, kuiz koperasi dan pertandingan bowling,” katanya ketika ditemui media sempena majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ketua UMNO Beluran, di sini, kelmarin.
Sehubungan itu, Julie yang juga Ketua UMNO Beluran menyeru orang ramai hadir untuk menyertai serta memeriahkan karnival itu nanti.
“Orang ramai dijemput hadir menyertai program berkenaan dan koperasi di Sabah juga disarankan mengambil peluang membuka booth jualan dalam program terbabit yang disediakan secara percuma,” katanya.
-Deasoka