Royal Brunei Airlines kembali beroperasi di Sabah

Kota Kinabalu: Pengoperasian semula penerbangan terus antara Bandar Seri Begawan dan Kota Kinabalu kini memudahkan pelancong bukan sahaja dari Brunei Darussalam tetapi juga dari negara lain untuk ke Sabah.

Penerbangan terus yang dikendalikan oleh Royal Brunei Airlines dilancarkan semula semalam dengan membawa seramai 150 penumpang ke Kota Kinabalu.

Ia adalah syarikat penerbangan asing kedua yang memulakan semula operasi penerbangan terus ke Kota Kinabalu, selepas Scoot iaitu syarikat penerbangan tambang rendah Singapura.

Joniston menyambut ketibaan penumpang Royal Brunei Airlines yang tiba di KKIA.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pengoperasian semula syarikat penerbangan asing adalah petunjuk baik untuk pelancongan dan ekonomi Sabah.

“Kita berbesar hati mengalu-alukan kedatangan semula Royal Brunei Airlines kerana ini dapat membantu penumpang antarabangsa transit, terutamanya dari laluan yang dikendalikan sebelum ini iaitu Australia, United Kingdom, Timur Tengah dan Jepun.

“Sabah sudah bersedia untuk menerima pelancong dan kita berharap lebih banyak syarikat penerbangan asing akan memulakan penerbangan terus ke Kota Kinabalu,” selepas menyambut ketibaan penumpang dari pesawat Royal Brunei Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berharap dengan pertambahan penerbangan terus dari negara luar akan meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Sabah.

“Dengan adanya penerbangan terus dari bandar-bandar di seluruh rantau ASEAN, kita boleh menjangkakan peningkatan pelawat di negeri ini,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman; dan Naib Presiden Jualan Penumpang, Kargo dan Jualan Carter bagi Royal Brunei Airlines, Christina Chua.

Christina dalam pada itu berkata, Kota Kinabalu adalah destinasi penting bagi syarikat penerbangan itu dan berharap dapat meningkatkan kekerapan penerbangan secara terus antara dua destinasi berkenaan dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, kita beroperasi dua kali seminggu untuk laluan Kota Kinabalu. Kita bercadang untuk menambah penerbangan agar dapat membawa lebih ramai pelancong dari Brunei ke Sabah,” katanya.

Ketika ini syarikat penerbangan itu mengendalikan penerbangan antara Bandar Seri Begawan dan Kota Kinabalu setiap Jumaat dan Ahad.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|