Pejalan kaki maut dirempuh kenderaan

Tawau: Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian di Batu 22 Jalan Apas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, wanita berusia lingkungan 30-an itu maut selepas tiba-tiba melintas jalan di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.55 malam.

“Kemalangan membabitkan pejalan kaki wanita dengan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun yang dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa secara tiba-tiba melintas dari sebelah kanan jalan dan disebabkan jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak sehingga menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak sehingga melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu mangsa terhumban ke bahagian hadapan kenderaan terbabit.

“Mangsa kemudian terjatuh kira-kira 62 meter dari lokasi dan menyebabkan mangsa yang tidak diketahui identiti itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan waris mangsa dan saksi kejadian,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|