Bomba bantu keluarkan dua lelaki tersepit dalam kereta

Penampang: Dua lelaki terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba kerana tersepit selepas kereta Toyota Vios dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Bulatan 3, Donggongon, di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa berusia 45 dan 46 tahun yang cedera dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.26 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama jentera serta EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Vios terbabas sendiri dibahu jalan lalu masuk ke dalam parit.

“Dua mangsa tersepit kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan EMRS memberi rawatan awal seterusnya menghantar mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 9.47 pagi tadi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|