Bot bertembung, satu maut dan enam terselamat

Semporna: Seorang lelaki maut manakala enam lagi terselamat selepas satu kemalangan bot bertembung dilaporkan berlaku di perairan daerah ini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, mangsa berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di hospital ketika mendapatkan rawatan akibat kecederaan parah.

Bot penambang yang terbabit kemalangan dengan sebuah bot lagi di perairan Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 8.30 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati, bot dinaiki mangsa yang maut bergerak dari arah Pulau Bum Bum menuju ke Pekan Semporna.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua bot bertembung selepas mangsa dipercayai gagal melihat bot penampang yang dikendalikan seorang lelaki berusia 20-an bersama lima penumpang.

“Mangsa yang maut terjatuh ke dalam laut dan tindakan pantas penumpang bot penambang berjaya menarik mangsa naik ke atas bot sebelum dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, selepas sejam mendapatkan rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan didapati mengalami kecederaan lebam di perut dan lengan kanan.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya terus menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pemilik bot supaya sentiasa berhati-hati menggunakan bot terutamanya di kawasan perairan yang sibuk.

“Pengendali bot juga dinasihatkan supaya memastikan penyediaan peralatan keselamatan seperti memasang lampu waktu malam, jaket keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farhan memohon bantuan orang ramai yang melihat kejadian berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq di talian 089-781222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|