Ranau: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang 3 Januari lalu ketika memeriksa jerat haiwan liar di hutan berdekatan Kampung Tinanom, di sini, ditemui mati, hari ini.
Mayat mangsa, Moijin Gamiyan, 65, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Keliau, jam 1.52 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat bersama orang awam kira-kira 1 Kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR kemudian ditamatkan kira-kira jam 6 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Moijin dipercayai masuk ke hutan berkenaan pada 1 Januari lalu dan tidak kembali sebelum laporan polis dibuat pada 4 Januari lalu.
Berikutan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan penyelamat terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk kampung.
-Deasoka