Operasi SAR hari keempat, mangsa masih belum ditemui

Operasi SAR hari keempat, mangsa masih belum ditemui

Kuala Penyu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dikhuatiri hilang ketika memukat di perairan Kampung Lambidan, di sini, sejak Isnin lalu masih gagal menemui mangsa.

Berikutan itu, operasi SAR yang memasuki hari keempat ditangguh kira-kira jam 5 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukan bomba menjalankan operasi SAR di pesisir pantai dengan pecahan dua pasukan.

Katanya, pasukan pertama meliputi operasi SAR 41.4 kilometer manakala pasukan kedua sejauh 22.5 kilometer.

“Operasi SAR dipermukaan air menggunakan bot dan setakat petang tadi mangsa belum ditemui.

“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung pagi esok,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, maklumat akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa.

Isnin lalu, Mohammad Sahrijan Sadih, 39, dilaporkan hilang ketika memukat ikan di perairan Kampung Lambidan, kira-kira jam 8 pagi oleh ahli keluarganya yang menyedari kehilangan mangsa terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|