Kereta terbakar, pemandu selamat

Kereta terbakar, pemandu selamat

Tawau: Sebuah kereta musnah sepenuhnya selepas dijilat api dalam kejadian di Jalan Pasir Putih, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, salam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.


Kereta Honda City yang musnah terbakar. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.57 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta Honda City didapati sedang terbakar dan operasi memadam api kebakaran terus dijalankan.

“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran menggunakan sumber air daripada tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 8.11 sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit selepas itu.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.18 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|