Beluran: Sebanyak 7,000 bakul makanan diagihkan untuk meringankan beban penduduk kampung yang terjejas akibat banjir di kawasan Parlimen Beluran.
Agihan bakul makanan itu dibuat menerusi MAFI Prihatin di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sejak Sabtu lalu di kampung yang terjejas di Paitan, Telupid dan Beluran.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jambri berkata, sebahagian bakul makanan itu diagihkan lebih awal di beberapa kampung yang dinaiki air banjir di tiga daerah yang terjejas.
“Bagi kampung yang terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air, agihan bakul makanan dilakukan dengan menggunakan bot dan kereta pacuan empat roda.
“Agihan turut mendapat kerjasama daripada pemimpin masyarakat dan penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk berkata, pihaknya akan memastikan agihan bantuan bakul makanan itu sampai kepada mana-mana penduduk kampung yang
terkesan banjir bagi memastikan keperluan makanan mereka mencukupi.
Pengagihan bakul makanan dilakukan dengan kerjasama pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), petugas kesihatan dan sukarelawan.
Turut membantu mengagihkan bakul makanan ialah anggota Srikandi dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beluran.
Di kawasan Paitan, agihan bakul makanan di kawasan yang terjejas antaranya Kampung Sungai-Sungai, Pamol, Golong, Kokos, Botition, Basai, Gana Jati, Kampung Tagas-Tagas dan Rungus.
Sementara itu, di Telupid agihan bantuan dilakukan di Kampung Berayong, Nangoh dan Ulu Sapi, manakala di Beluran membabitkan kampung Klagan Jaya, Klagan Baru, Balaban, Ranpek, Piuludan, Muanad 1, Muanad 3 dan Manduring.
-Deasoka