RM301 juta diperlukan untuk tebatan banjir di Kota Marudu dan Pitas

RM301 juta diperlukan untuk tebatan banjir di Kota Marudu dan Pitas

Kota Marudu: Kira-kira RM301 juta diperlukan untuk melaksakan projek tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda daerah ini dan Pitas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata peruntukan itu adalah anggaran yang dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan kerja kejuruteraan sungai.

Jeffrey mengagihkan bantuan air minuman dan bahan makanan kepada penduduk terjejas banjir.

Katanya, ia membabitkan empat sungai utama di kedua-dua daerah terbabit iaitu Sungai Bandau, Sungai Bongon, Sungai Tandek dan Sungai Rasak.

“Ia merangkumi kerja membina permatang di sepanjang sungai, mengorek dan melebarkan sungai, menaik taraf sistem perparitan dan memasang pintu kawalan banjir.

“Bagaimanapun, sebagai penyelesaian jangka pendek, JPS akan melaksanakan projek ad-hoc untuk membersihkan parit yang tersumbat supaya air boleh mengalir dengan lancar kerana parit tersumbat juga satu daripada punca utama banjir,” katanya dalam satu kenyataan selepas taklimat JPS berkaitan isu banjir, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri turut meninjau beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir dan mengagihkan bantuan makanan serta air minuman kepada penduduk.

Beliau berkata, masalah banjir bukan saja disebabkan infrastruktur, malah katanya turut dikaitkan dengan perubahan iklim global yang menyebabkan hujan luar biasa termasuk di kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir.

“Kita perlu menjalankan kajian teliti mengenai keadaan dan perilaku sungai, bukan saja di sini tetapi juga di semua daerah di Sabah supaya kita boleh merancang apa yang kita perlu lakukan untuk mencegah banjir,” katanya.

Jelasnya, alam semulajadi akan sentiasa mencari jalan untuk menyembuhkan diri, namun apa yang menyedihkan kebanyakan kerosakan yang berlaku terhadap alam sekitar dibuat oleh manusia.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa peka khususnya ketika musim monsun dan bersedia untuk berpindah secepat mungkin apabila keadaan memerlukan.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak membina rumah terlalu hampir dengan sungai, bukan saja membahayakan diri tetapi menyalahi undang-undang tanah dan alam sekitar.

“Undang-undang rizab sungai mesti dihormati, bukan diabaikan. Undang-undang itu itu adalah untuk melindungi kita, bukan kerana kerajaan tidak sensitif atau tidak bertimbang rasa,” katanya.

Sementara itu, ketika perjumpaan bersama petani di Pitas yang kebun mereka rosak akibat banjir, Jeffrey berkata bantuan termasuk baja, racun serangga dan alat penyembur akan disalurkan kepada petani yang terjejas akibat banjir.

Katanya, seluas 44.65 hektar tanah kebun musnah dalam kejadian banjir di Pitas pada kali ini dengan kerugian dianggarkan RM56,700.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|