ATB 2 tahan 7 PATI warga Indonesia

ATB 2 tahan 7 PATI warga Indonesia

Tawau: Cubaan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia cuba menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau gagal apabila ditahan anggota Tim Quick Reaction Force (QRF) di Kampung Kurniah Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, tujuh PATI berusia antara 22 hingga 80 tahun itu dikatakan masuk ke daerah ini dengan menaiki bot sebelum menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ke terminal bas di daerah itu.

PATI yang ditahan selepas cuba menyeludup masuk Tawau di Kampung Kurniah Jaya, Tawau. Pix Ihsan ATB 2

Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, tangkapan dibuat ketika Tim QRF melaksanakan rondaan Op Benteng Bersama dan menerima aduan daripada penduduk berhubung kehadiran PATI di kawasan itu.

Katanya, Tim QRF berjaya mengesan kedudukan kenderaan yang dinaiki PATI terbabit dan bertindak mengekorinya sehingga ke Terminal Bas Tawau untuk pemeriksaan dan pengesahan.

“Pemandu kenderaan bertindak menurunkan kesemua penumpang sebelum melarikan diri dengan memecut laju kenderaan bagi mengelak daripada ditahan selepas menyedari kehadiran Tim QRF.

“Hasil pemeriksaan terhadap tujuh PATI mendapati mereka merupakan warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan cuba masuk ke Malaysia bagi mendapatkan peluang pekerjaan di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, hasil siasatan lanjut mendapati bot yang dinaiki semua PATI terbabit telah diatur oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau.

“Semua PATI berkenaan seterusnya akan diambil oleh agen di dari Tawau untuk terus dihantar ke Terminal Bas Tawau.

“Katanya lagi, siasatan diteruskan dan semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 2.30 pagi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|