Warga emas hilang di hutan belum ditemui, SAR disambung pagi esok

Warga emas hilang di hutan belum ditemui, SAR disambung pagi esok

Ranau: Usaha mencari seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang ketika memeriksa jerat haiwan liar di hutan dekat Kampung Tinanom, di sini, akan disambung esok pagi.

Operasi mencari menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini membabitkan kekuatan seramai 43 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk penduduk kampung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR yang memasuki hari kedua turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9).

Katanya, pencarian hari ini dilakukan di kawasan sepanjang Sungai Liwagu hingga Kagibangan menggunakan bot dan kawasan kebun sawit dengan jarak lima hingga sembilan kilometer radius.

“Mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada 5 petang tadi.

“Operasi akan disambung pagi esok dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Mangsa Moijin Gamiyan, 65, dipercayai masuk ke hutan untuk memeriksa jerat pada 1 Januari lalu dan tidak kembali sebelum keluarganya membuat laporan polis semalam.

Operasi SAR kemudian dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk kampung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|