Operasi SAR lelaki hilang ketika memukat di laut ditangguh

Operasi SAR lelaki hilang ketika memukat di laut ditangguh

Kuala Penyu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri lemas di perairan Kampung Lambidan, di sini, sejak tiga hari lalu, ditangguhkan pada 6 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukan bomba menjalankan operasi SAR hari ketiga bersama agensi lain.

Katanya, radius pencarian pasukan bomba hari ini 27 kilometer di kawasan pesisir pantai dan permukaan air di kawasan laut menggunakan bot.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba turut membuat selaman di kawasan lokasi mangsa dipercayai hilang.

“Namun mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada 6 petang tadi,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi akan disambung pagi esok dan maklumat akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa.

Operasi SAR turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); Pasukan Polis Marin (PPM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Isnin lalu, mangsa Sharizan Sani, 39, dilaporkan hilang ketika memukat ikan di perairan Kampung Lambidan, kira-kira jam 8 pagi oleh ahli keluarganya yang menyedari kehilangan mangsa terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|