6 PATI diusir daripada memasuki Sabah

6 PATI diusir daripada memasuki Sabah

Semporna: Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh masuk ke negara ini berjaya dihalang Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di perairan Alice Channel, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, sebaik berjaya dikesan, pasukan operasi terus mengejar dan memintas perahu berkenaan.

Pasukan operasi PPM mengusir PATI keluar daripada sempadan perairan negara selepas didapati cuba masuk secara tidak sah.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki enam warga Filipina membabitkan tiga lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak.

“Selepas pemeriksaan dijalankan mendapati, semua warga asing terbabit tidak mempunyai sebarang pas perjalanan dan memasuki perairan Malaysia secara tidak sah.

“Pengusiran terus dibuat dengan mengiringi perahu keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad berkata, ia selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, PPM Semporna akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Semporna.

Katanya, ia adalah salah satu usaha bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19 dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.

“PPM menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan maklumat bagi mengekang jenayah rentas sempadan melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-9391197.

“Maklumat juga disalurkan dengan berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Semporna bagi memastikan tindakan melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|