Penumpang parah, pemandu cedera

Penumpang parah, pemandu cedera

Kota Kinabalu: Dua pemandu dan seorang penumpang berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki bertembung dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Lembaga Padi, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian membabitkan Perodua Kelisa dan Perodua Axia jam 11 malam itu, seorang daripada mangsa parah manakala dua lagi hanya mengalami kecederaan ringan.

Dua kenderaan berkenaan bertembung sehingga menyebabkan seorang daripada tiga mangsa tersepit. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.19 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati mangsa yang terlibat adalah tiga lelaki berusia 33 hingga 38 tahun dan salah seorang daripadanya tersepit di tempat duduk Perodua Kelisa.

“Pasukan operasi terus menjalankan usaha mengeluarkan mangsa tersepit yang mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi kejadian oleh pasukan EMRS sebelum l dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.37 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|