50 rumah perlu diroboh untuk laluan Lebuhraya Pan Borneo di Kinabatangan

50 rumah perlu diroboh untuk laluan Lebuhraya Pan Borneo di Kinabatangan

Kinabatangan: Kira-kira 50 rumah penduduk dikenal pasti perlu dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kerajaan menyediakan tanah untuk penduduk yang terbabit membina semula rumah di sekitar Kota Kinabatangan.

Bung Moktar mendengar taklimat pembangunan daerah oleh Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Manap Abdul Rahim.

“Penduduk perlu berpindah untuk memberi laluan kepada projek itu dan kerajaan sudah menyediakan tanah kepada mereka untuk membina semula rumah,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai pembangunan jalan raya dan bekalan air bagi daerah Kinabatangan, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata demikian ketika mengulas perkembangan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang dilaksanakan di daerah itu.

Awal November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan tiga pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi kawasan pantai timur Sabah yang membabitkan laluan Sandakan – Kinabatangan – Beluran – Telupid.

Pakej terbabit ialah WP28, WP29 dan WP30 merangkumi jarak sepanjang 58 kilometer dengan kos pembinaan sebanyak RM877 juta.

Sementara itu, mengulas mengenai pampasan kepada pemilik rumah yang dirobohkan, Bung Moktar berkata ia tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan, selain turut mengambil kira kemampuan kerajaan.

Tegasnya, penduduk tidak sepatutnya membina rumah terlalu dekat dengan jalan raya sehingga memasuki kawasan rizab jalan raya sedia ada kerana ia menyukarkan kerja pelebaran dan menaik taraf kemudahan itu pada kemudian hari.

Bung Moktar berkata, penduduk perlu sedar apabila aliran trafik semakin meningkat di sesuatu kawasan pada masa depan, jalan raya sedia ada perlu dilebarkan demi keselesaan pengguna.

“Rizab jalan tidak boleh diduduki. Jika perkara ini difahami, mereka seharusnya membina rumah jauh sikit dari jalan raya.

“Apabila rumah yang dibina cantik, kos (pampasan) bukan dikira mengikut harga rumah itu tetapi mengikut kemampuan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menasihatkan rakyat di negeri ini supaya tidak mendirikan rumah atau bangunan sewenang-wenangnya di tepi jalan raya bagi memberi ruang kepada pelebaran infrastruktur itu pada masa depan.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, selain Projek Lebuhraya Pan Borneo, satu lagi projek pembinaan jalan raya sedang dilaksanakan di kawasan Parlimen Kinabatangan yang menghubungkan Linayukan di Tongod dengan Sinaron di Keningau.

Jalan raya sepanjang kira-kira 40 kilometer itu mulai dilaksanakan pada tahun lalu dengan kos RM320 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, manakala majlis pecah tanah dijadualkan selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Dengan adanya rangkaian jalan raya yang diaspal dan dibina dengan baik ini, sudah tentu akan menjadi pemangkin kepada ekonomi sekitar dan ianya boleh menghubungkan daerah Ranau, Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Pensiangan,” katanya.

Dalam pada itu, sempena lawatan kerjanya ke Kinabatangan semalam juga, Bung Moktar turut meninjau sebuah rumah yang terjejas akibat tanah runtuh baru-baru ini di Kampung Warisan.

Runtuhan itu menyebabkan lantai dapur rumah penduduk terbabit mengalami mendapan selain merosakkan struktur rumah.

Selain itu, Bung Moktar turut meninjau cadangan menaik taraf jalan Kampung Sungai Rotan, Loji Rawatan Air kampung Paris dan Paris Tiga serta jalan runtuh di Kampung Segaliud.

Mengulas program turun padang beliau bersama pegawai dari Kementerian Kerja Raya Sabah, Bung Moktar berkata ia adalah pendekatan untuk meninjau perkembangan pembangunan yang dilaksanakan selain melihat keperluan pembangunan yang lain serta masalah yang dihadapi rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|