Mangsa banjir hargai bantuan pasukan penyelamat

Mangsa banjir hargai bantuan pasukan penyelamat

Kota Marudu: “Bukan kali pertama berhadapan dengan bencana banjir, tetapi setiap kali banjir ia sukar bagi saya kerana perlu menguruskan seorang cucu saya yang juga orang kelainan upaya (OKU) untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” kata Inak Akbar, 61, dari Kampung Pancur, di sini.

Inak dan cucunya dipindahkan ke PPS Dewan Komuniti, di sini, dengan bantuan pasukan penyelamat selepas rumahnya terjejas akibat banjir pada 31 Disember lalu.

Saadiah Insyirah yang tidak mampu bergerak sendiri terpaksa diuruskan neneknya, Inak sepanjang dipindahkan ke PPS Dewan Komuniti, Kota Marudu.

Bagaimanapun, Inak berkata, mujur pasukan penyelamat sentiasa peka dengan keadaan penduduk kampung yang dilanda banjir dan bergerak pantas menyelamatkan mereka sekeluarga termasuk cucunya yang OKU itu.

“Tahun lalu, sudah beberapa kali kami dipindahkan ke PPS berikutan banjir yang melanda kampung kami. Ini perkara biasa kepada kami cuma susah sedikitlah sebab saya ada cucu OKU, jadi saya terpaksa mendapatkan bantuan daripada pasukan penyelamat untuk memindahkan dia.

“Mujur pasukan penyelamat hadir ke kampung kami buat pemantauan dan seterusnya membantu saya serta cucu dengan mendukungnya keluar dari rumah untuk dipindahkan ke PPS pada hari itu,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Komuniti, di sini, semalam.

Inak memaklumkan, cucunya, Saadiah Insyirah Abdullah, 16, lumpuh selain tidak dapat berkomunikasi seperti biasa menyebabkan setiap kali banjir dia terpaksa mendapatkan bantuan daripada pasukan penyelamat untuk membawa mereka keluar.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Juislie Amsan, 47, turut berterima kasih kepada pasukan penyelamat terutamanya tiga anggota bomba yang membantunya keluar dari rumahnya yang terletak di Kampung Ongkilan, di sini, untuk dipindahkan ke PPS.

“Saya tidak dapat berjalan seperti biasa disebabkan patah kaki kanan akibat kemalangan pada November lalu.

“Ketika itu air sudah mulai naik ke rumah dan saya sudah cemas kerana tidak dapat membawa keluarga keluar dari rumah tetapi mujur ada sepasukan anggota bomba bertindak memikul saya keluar dari rumah untuk dipindahkan ke PPS ketika itu,” katanya.

Bercerita lanjut, Juislie berkata, dia kini sudah enam hari berada di PPS itu dan risau dengan keadaan rumahnya kerana sebelum ditinggalkan air sudah berada di paras buku lali.

“Saya harap keadaan rumah tidak terlalu teruk tetapi ketika kali terakhir tinggalkan rumah sebelum berpindah ke PPS, beberapa barang sudah terkena air banjir dan terapung.

“Saya juga berharap dapat balik ke rumah secepat mungkin walaupun tidak dapat bergerak seperti biasa, saya cuba bantu isteri dan anak-anak untuk bersihkan rumah,” katanya.

PPS Dewan Komuniti Kota Marudu menempatkan seramai 271 mangsa banjir terdiri daripada 96 ketua isi rumah (KIR) berikutan beberapa kampung di daerah ini dilanda banjir sejak 31 Disember lalu.

Semua KIR yang terjejas akibat banjir turut menerima sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan sebanyak RM1,000 dan bakul makanan yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam lawatan beliau ke daerah itu semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|