Pitas: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan memperkenalkan beberapa program pada tahun ini termasuk memberi tumpuan untuk mewujudkan taman tanah perkuburan supaya lebih tersusun dan kemas.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya sedang melaksanakan dua model tanah perkuburan yang tersusun untuk dijadikan sebagai contoh kepada tanah perkuburan lain di negeri ini.
Katanya, setakat ini tanah perkuburan di Kampung Lobou, Manggatal dan Batu 12, Sandakan antara yang dikenal pasti tersusun dan sesuai untuk dijadikan contoh.
“Kita melihat ada beberapa daerah atau kampung yang menghadapi masalah tanah perkuburun. Jadi, saya sudah minta kepada Pegawai Daerah yang menjadi pengerusi dakwah daerah agar mencari tanah untuk kita jadikan tanah perkuburan bagi memudahkan umat Islam di negeri ini.
“Kita cuma mahu ia lebih tersusun seperti di Lobou (Manggatal) dan Batu 12, Sandakan, di mana dua ini antara yang tersusun yang kita akan jadikan contoh,” katanya kepada media selepas melawat mangsa banjir di Pitas, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perancangan yang akan dilaksanakan MUIS pada tahun ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan ada juga usaha yang sedang dilakukan untuk melebarkan tanah perkuburan di beberapa tempat di negeri ini.
“Ada yang (tanah perkuburan) tidak mencukupi sudah, misalnya yang terbaharu di Sandakan, kita lebarkan atau luaskan kerana tanah itu memang luas cuma kita perlu bersihkan dan sebagainya.
“Begitu juga di Sepanggar, kita ada sebuah tanah perkuburan di Sepanggar seluas hampir 6.5 hektar yang mana ini boleh dimanfaatkan antara 15 hingga 20 tahun akan datang supaya umat Islam di kawasan Kota Kinabalu memilih tempat berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memalumkan bukan semua kubur di negeri ini sudah melebihi kapasiti, ada juga beberapa kawasan masih luas dan mampu menampung keadaan semasa.
“Tidak juga (lebih kapasiti), ada yang lebih seperti di tempat saya di Membakut, kita ada 40 hektar tanah perkuburan yang sekarang hanya beberapa ekar digunakan.
“Kita juga telah mendapat satu tanah perkuburan di Bandar Tawau, InsyaAllah kita akan buka semua seperti yang diarahkan oleh Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) yang meminta saya mencari jalan dengan segera bagi menyelesaikan masalah umat Islam berhubung tanah perkuburan,” katanya.
-Deasoka