SANDAKAN: Dua remaja perempuan berusia 15 dan 17 tahun meninggal dunia selepas dilaporkan lemas ketika mandi di kolam kuari di Kampung Gum Gum, Jalan Kuari 5, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.31 petang melalui talian NG999.
Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan bersama sebuah jentera CFRT dan sebuah EMRS kemudian digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 27 kilometer.
Menurut Komander Operasi, PBK I Alan Ayuh, seorang mangsa ditemukan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi berjaya ditemukan hasil usaha pasukan bomba bersama orang awam di lokasi kejadian.
“Kedua dua mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut dibantu dua anggota polis itu ditamatkan pada jam 7.01 malam.
Identiti kedua dua mangsa belum diperoleh setakat ini.
Kes dikendalikan Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.
