RM250,000 untuk naik taraf Dataran Tamu Sukau

RM250,000 untuk naik taraf Dataran Tamu Sukau

Kinabatangan: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) memperuntukkan sekurang kurangnya RM250,000 bagi membangunkan Dataran Tamu Sukau, di sini.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin, berkata dataran dan gerai di sekitarnya berpotensi untuk dibangunkan menjadi pusat tumpuan pelancong sekali gus membantu meningkatkan ekonomi setempat.

Jafry meninjau Dataran Tamu Sukau yang akan dinaik taraf.

“Pihak KePKAS bersama Majlis Daerah Kinabatangan kini dalam perancangan untuk menaik taraf dan memperindahkan lagi kawasan serta fasiliti sedia ada.

“Dataran itu juga adalah tempat untuk mengadakan pelbagai program kebudayaan antaranya Pesta Damas anjuran Persatuan Bangsa Sungai Sabah SABAS,” katanya selepas meninjau dataran berkenaan, semalam.

Katanya, sebelum negara dilanda pandemik Covid-19, Pesta Damas berjaya menarik bukan sahaja pelancong tempatan tetapi juga luar negara khususnya dari Eropah untuk datang ke Sukau.

Sukau yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Sandakan adalah antara lokasi terkenal dengan pelbagai jenis hidupan liar yang boleh dilihat di habitat semulajadinya pada jarak dekat antaranya gajah pigmi dan monyet bangkatan (Proboscis monkey).

Dalam pada itu, Jafry berkata, KePKAS turut bercadang untuk menjadikan Dataran Tamu Sukau sebagai destinasi persinggahan pelancong berkonsepkan ikonik seni yang menawarkan produk berteraskan seni, kraf dan warisan masyarakat tempatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|