NGO, pemimpin masyarakat perlu main peranan hadapi bencana

NGO, pemimpin masyarakat perlu main peranan hadapi bencana

Kota Kinabalu: Masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab yang perlu disumbangkan dalam menghadapi bencana untuk membantu barisan hadapan dalam tugas masing – masing.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ia bukan saja dapat melancarkan dan memantapkan usaha-usaha menyelamat dan memindahkan mangsa, menjamin keselamatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), usaha pencegahan jenayah ketika bencana dan memudahkan dari segi penyaluran bantuan.

Mohd Zaidi ketika ditemui media selepas Majlis Dialog Keselamatan Menghadapi Banjir di Dewan Serbaguna IPD Kota Kinabalu.

Katanya, peranan dan tanggungjawab itu perlu diketahui oleh masyarakat sendiri terutamanya dalam menghadapi suasana bencana ketika Monsun Timur Laut.

“Orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu tahu peranan dan tanggungjawab yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas bencana.

“Namun, disebabkan kurangnya kesedaran atau pengetahuan mengenai peranan dan tanggungjawab dalam tiga fasa ini maka ia kadangkala merencatkan perancangan dan usaha menyelamat oleh pasukan hadapan apabila berlakunya bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Keselamatan Menghadapi Banjir yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Antara yang hadir pada majlis dialog berkenaan ialah ketua-ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kapitan Cina, Persatuan Pacuan Empat Roda (4X4) Daerah Kota Kinabalu dan pemilik-pemilik bot yang terdiri daripada orang perseorangan, NGO serta agensi pelancongan.

Mohd Zaidi berkata, dengan adanya kerjasama semua, sudah pasti pasukan operasi menyelamat akan dapat bertindak dengan lebih cekap, teratur, lebih mantap dan mungkin lebih melicinkan lagi proses seperti pemindahan dan lain-lain.

Katanya, pihaknya sudah mendaftarkan semua pengusaha pelancongan, NGO, Persatuan Nelayan, Persatuan 4×4, orang persendirian yang mempunyai kemudahan ataupun memiliki bot dan kenderaan 4×4 untuk digunakan sekiranya berlaku sebarang bencana di daerah ini.

“Menerusi pendedahan ini, mereka tahu bagaimana untuk tampil, di kawasan mana perlu pindahkan bot dan kenderaan 4×4 untuk bantu kami dan kerja-kerja menyelamat.

“Malah, ia juga dapat membantu dalam kerja-kerja mencegah jenayah semasa banjir dan bantuan lain pasca banjir.

“Setakat ini, hasil usaha mendekati orang perseorangan, pengusaha pelancongan dan NGO, kita mempunyai sebanyak 39 bot ringan yang sesuai untuk digunakan untuk proses menyelamat, rondaan ataupun pemantauan keselamatan pencegahan jenayah,” katanya.

Katanya, Persatuan 4×4 yang turut berperanan besar dalam membantu pasukan hadapan ketika berlakunya bencana seperti banjir telah bersedia dengan 19 buah kenderaan 4×4 pelbagai jenis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|